Salam Idul Adha 2019. Kamurang sambut di mana?


Saya sambut di Sulap Dahai, Kundasang — di tanah warisan Sinteh-Dambul Dumaring. Pagi-pagi buta lagi saya sudah merayau sekitar kawasan kebun, sambil refleksi diri. Ya, mengenang semula pengorbanan ibubapa kami membuka tanah pergunungan ini sekitar tahun 1960-an.

Bukan senang tau. Ibubapa saya asal dari Bundu Tuhan, beberapa batu di barat Kundasang. Tapi selaku anak Dusun berjiwa peneroka tegar, orang tua kami (adik-beradik Sinteh dan Dambul Dumaring) telah kembara sejauh ini, merentas dua sungai — Pangi dan Liwagu. Demi mencari tempat strategik, kerana seluruh resam kehidupan Momogun Dusun berpasak pada tanah.

Sebidang tanah ini, di lereng utara lembah pergunungan Kundasang yang cantik, memang sekilas pandang nampak sungguh giur dan permai. Betul-betul di bawah naungan Aki Nabalu, satu kurniaan geologi semulajadi yang amat ajaib lagi memukau. Iklim pun dingin-dingin manja, selalu dipupul angin banjaran yang hening.

TETAPI cerita di sebalik penerokaan tanah ini tidak seindah apa yang kita nampak sekarang. Kami semua adik beradik disekolahkan dengan hasil dari tanah ini. Ia penuh dengan kisah duka, getir dan airmata kerana tanah ini bermula sebagai sebuah rimba tropika yang tebal dan liar.

Saya sangat berterima kasih kepada ibubapa dan adik beradik saya yang lebih tua — kerana mereka telah memugar dan menghidupkan tanah ini dengan pengorbanan maha tinggi. Sebagai generasi bungsu dalam keluarga, saya sebenarnya tidak ada sumbangan yang signifikan.

Kenangan saya zaman kecil hanyalah bermain dan berlarian di celah batas-batas sayur gunung. Tidak seperti abang-abang dan kakak-kakak saya — yang pernah memungut kopi dan mengangkutnya turun-naik bukit, sampai luka-luka ketika zaman-zaman awal pembukaan tanah. Ya, sebelum saya lahir.

Sebab itu saya membesar dengan kaki dan tangan yang licin menggoda. Tidak dipenuhi parut dan calar seperti mereka. But I guess, that is just the privilege of coming last in the family. Siapa suruh mereka terberanak awal, kan? Haha.

TODAY, I take a moment to revisit those memories — and the sacrifices made by my late parents and my older siblings. Thank you so much.

Selamat Hari Raya Qurban, semoga semua pengorbanan kita, dalam apa juga bentuk dan lapangan, diterima dan diberi ganjaran oleh-Nya. Juga dapat menjadikan kita seorang manusia yang lebih insani. — at Kaki Gunung Kinabalu Kundasang.


AkiNabalu
Ogos 11, 2019
0

Ulasan

Search

Popular Posts

Inilah kuasa sebenar pantun Melayu

Kuasa pantun empat kerat ini sungguh perkasa. Sampai lanskap media sosial Malay…

Salam Idul Adha 2019. Kamurang sambut di mana?

Saya sambut di Sulap Dahai, Kundasang — di tanah warisan Sinteh-Dambul Dumarin…

Kenangan tiga tahun lalu

Minum petang di beranda rumah panjang di Rumah Pangi , sambil ampai-ampai menun…

Contact Me