Kuasa pantun empat kerat ini sungguh perkasa. Sampai lanskap media sosial Malaysia (dari Twitter, FB hingga Insta) terjungkir balik oleh polemik gender. Fuh, serangkap pantun ini, membuat ramai orang meloncat terlucut kain, sampai nampak kemaluan sendiri.
Kaum n̷e̷t̷i̷j̷i̷n̷g̷ netizen yang selama ini lebih ketagih membawang tentang artis atau menganjing pasal politik; tiba-tiba secara drastik, berubah minat kepada puisi tradisional. Wah bagus, satu anjakan minda yang sungguh giur.
Tapi yang agak sumbel, anjakan mereka ini bermula dengan langkah liar. Semua gopoh mau tunjuk pandai, tanpa cuba memahami falsafah yang mendasari estetika pantun. Akhirnya yang terserlah, kepandiran peribadi yang sungguh mutlak, tidak mampu ditolong lagi.
Siapa masih ingat Torode dan Wallace dalam rancangan Masterchef UK? Mereka kecam rendang Chef Zaleha sebab konon tidak cukup rangup. Hah, itulah sinonim perangai netizen yang sedang cemuh pantun DBP ini. Mentaliti ToroWal totok. Ilmu tentang tradisi dan tamadun orang lain cuma seinci. Tapi saiz kelongkangan mulut, lebih lebar daripada Sungai Kinabatangan.
Pantun ini sebenarnya sejenis bahasa dan susastera tinggi. Mesejnya tersisip dalam kiasan yang berlapis-lapis. Makna sebenar tidak semestinya tersurat pada lapis pertama. Ia barangkali tersembunyi di sebalik lapisan paling dalam. Sebab itu, kalau daya intelek cuma secubit, jangan tunjuk jaguh tidak bertempat.
Pemilihan imej simbolik “isteri cantik” dan “menumbuk sambal” hanya perlambangan semiotik. Ia bukan bersifat literal atau hurufiah. Tafsiran pantun ini sangat luas. Memperihalkan sesuatu yang “indah khabar dari rupa.” Maksudnya, gaya saja yang lebih, tapi fungsinya ntah apa-apa. Macam dompet kulit buaya kau. Harga bukan main mahal, ribu-ribu. Tapi isi di dalam, tidak pernah ada duit.
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga pagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Pantun ini bukan menyuruh kau engkar pada PERHILITAN ya. Takut pula kau pergi memburu gajah liar di rimba sebab kemaruk mau gading. Kemudian ternakan kerbau di ladang, kau lepaskan masuk belukar sebab tidak berguna. Bukan simplistik begitu. Faham?
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Yang ini pun, jangan kau ambil literal. Nanti kau hari-hari pergi berhutang di kedai emas. Maklumlah hutang emas boleh dibayar, kan. Bila kau terima budi orang pula (misalnya tumpang kereta kawan ke opis); maka kau cepat-cepat cari gaung paling curam. Kemudian terjun dan mati, sambil membawa budi kawan tadi. Hoi, bukan begitu!
Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman;
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Maksudnya apa? Bila mati nanti, kau mahu bapamu cincang mayatmu, kemudian rendam dengan asid hidroklorik berkepekatan PH 1. Bila daging dan tulang belulang hancur terurai — senanglah bapamu tindik jenazahmu di hujung kuku dan buat kuburan di tapak tangan. Begitu pemahaman kau?
Sebab itu jangan emosi macam orang pekal (pendek akal). Hayati dulu kehalusan nuansa pantun Melayu. Jangan hanya meraba-raba kulit luaran yang gerutu, kemudian terus lantang mencemuh. Pantun “tumbuk sambal” itu bukan diskriminasi gender. Bukan juga meremehkan peranan seorang isteri. Itu cuma metafora terkias.
Sebenarnya ada banyak juga pantun yang menggunakan gender lelaki sebagai semiotik sindiran. Bukan wanita saja. Tapi bila bebal dan malas membaca, tentulah ramai yang tidak tau. Bila tidak tau, mulalah bersangka-sangka konon pantun ini sejenis puisi yang “sexist” (baca: patriaki).
Pantun adalah petunjuk kearifan seni bahasa pribumi zaman dahulu, yang mencerap teladan hidup dengan akalbudi paling rapi. Agar masyarakat dapat disaji dengan hikmah tersirat. Ya, untuk mereka belajar dan reti menukang dunia yang tidak sempurna ini menjadi lebih baik.
Itulah. Lain kali, sebelum mengecam semberono, didik dirimu dengan isu yang disabitkan. Kalau sekadar tekun baca Harry Potter atau hanya gemar menonton telenovela Korea; jangan ghairah menyibuk tentang harkat dan etos insani puisi-puisi tradisional Nusantara. Tolong, luaskan dulu pembacaanmu dan medan penggalian ilmu.
Kail pun tidak sampai sejengkal. Tapi ada nafsu besar mau memancing ikan paus di tengah Lautan Hindi. Nanti, siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka.
Nota: Ayat terakhir di atas, sila baca kuat-kuat dengan slang ikonik Deanna Yusoff.
Kalau sudah lupa, mohon ulangkaji di sini
related posts
Inspirasi
Oktober 17, 2020
0
Ulasan
Catat Ulasan